TAJUK 8: STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN
1. PENDAHULUAN
Mengikut Kamus Dewan Edisi keempat, pengurusan bermaksud mengurus sesuatu atau perihal mengurus. Ini membawa pengertian yang lebih luas kearah mengendalikan sesuatu agar lebih teratur dan tersusun. Dalam konteks pendidikan, pengurusan bilik darjah yang baik boleh menjurus kepada situasi yang lebih baik dan berprosedur sempurna untuk mencapai objektif-objektif aktiviti yang lebih berkesan dan bermakna. Pengurusan bilik darjah ialah suatu aspek yang penting dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sementara itu, menurut Marlnad (1975), susunan fizikal di dalam kelas boleh memberi sumbangan dari segi kawalan, perhubungan guru dengan murid dan sesama murid di dalam kelas malah mewujudkan keseronokan bekerja bersama-sama untuk mencapai sesuatu visi. Menurut Lemlech (1988), pengurusan bilik darjah diibaratkan sebagai okestra dalam kehidupan di bilik darjah yang memerlukan pembentukan kurikulum, penyelenggaraan, prosedur dan sumber pengajaran. Ia juga menekankan tenteng pentingnya penyusunan suasana bilik darjah bagi meningkatkan keberkesanan, pemantauan perkembangan pelajar serta tanggungjawab guru dalam memikirkan masalah-masalah yang mungkin akan timbul.
2. ISI PENTING
Tiga isi penting yang telah saya pelajari dalam topik ini ialah berkaitan unsur fizikal bilik darjah, interaksi dalam bilik darjah, dan iklim pembelajaran positif dalam skop strategi pengurusan bilik darjah. Dalam konteks pendidikan, keadaan fizikal dalam bilik darjah seperti penyusunan bilik darjah amat penting dalam situasi pembelajaran pelajar, keadaan in dapat menggalakkan atau menghalang sesuatu pembelajaran. Menurut Sharifah Alwiah Alsagof (1986:44), persekitaran fizikal bilik darjah yang baik akan dapat meningkatkan kuasa serta sumber pengajaran guru. Sementara itu, menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (1981:16), kemasnya organisasi benda-benda fizikal di dalam bilik darjah seperti kerusi, meja, almari dan lain-lain tidak menjamin yang pembelajaran boleh berlaku melainkan jika guru menguruskan murid-murid selaras dengan matlamat yang dituju. Klasifikasi sumber pembelajaran yang digunakan oleh guru juga perlulah mengikut kesesuian. Antara sumber yang boleh digunakan adalah sumber asas, sumber bukan elektronik, sumber elektronik dan sumber yang bercorak pengalaman. Tegasnya, penyusunan kerusi dan meja pelajar kedudukan meja guru, dan jenis sumber pembelajaran memberi kesan yang mendalam terhadap pelajar di dalam bilik darjah.
Selain itu, interaksi dalam bilik darjah merupakan antara strategi mengurus bilik pembelajaran. Konsep interaksi ialah satu proses saling bertindak yang berlaku di antara sekurang-kurangnya dua pihak. Istilah dua pihak bermaksud sama ada ia merupakan orang perseorangan ataupun sekumpulan manusia. Terdapat empat jenis interaksi yang boleh digunakan oleh guru terhadap pelajarnya di dalam bilik darjah mengikut kesesuian. Antaranya ialah interaksi satu hala, interaksi dua hala, interaksi kumpulan. dan interaksi antara kumpulan. Kawalan yang sempurna dan menggunakan gaya kepimpinan yang sesuai juga merupakan antara strategi mengurus bilik pembelajaran. Antara gaya kepimpinan yang boleh digunakan oleh guru terhadap pelajarnya ialah gaya autokratik (interaksi sehala tidak sesuai), gaya demokratik (paling sesuai), gaya laissez faire (kebebasan penuh diberikan) dan penggunaan kaedah kumpulan.
Akhir sekali, strategi mengurus bilik pembelajaran ialah iklim pembelajaran positif. Iklim bilik darjah boleh dikaitkan dengan suasana dan keadaan tertentu yang memberi tanggapan tentang apa yang dirasai dan suasana yang mempengaruhi perkembangan tingkah laku pembelajaran. Selain itu, iklim pembelajaran juga merujuk kepada norma-norma serta sikap guru dan pelajar yang dapat mempengaruhi pembelajaran di sekolah. Jadi, di dalam ini perkara yang perlu diperlukan ialah kecekapan dan kemahiran guru dalam mencorakkan suasana dan keadaan bilik darjah. Guru yang bagus dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan meransang pelajar ke tahap pembelajaran maksimum. Maksud kondusif menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sesuai, baik, mencapai atau mendorong menghasilkan sesuatu. Antara aspek-aspek pengurusan bilik darjah yang perlu diambil serius oleh guru adalah perancangan, dorongan, koordinasi atau penyelarasan pelicinan pengajaran, kepimpinan dan lain-lain. Penggunaan garis panduan memberi kata-kata pujian juga memberi kesan yang besar kepada perkembangan dan keselesaan pelajar. Antaranya ialah mendefinisikan kelakuan semasa memberi kata-kata pujian, kata-kata pujian diberi segera, dan konsisten apabila memuji pelajar. Tegasnya, peranan yang dimainkan oleh guru itu sendiri akan mewujudkan iklim pembelajaran positif di dalam bilik darjah.
Secara kesimpulannya, strategi pengurusan bilik darjah adalah berkait rapat dengan tiga aspek penting seperti unsur fizikal, interaksi dan iklim bilik darjah. Selain itu juga, peranan daripada guru adalah penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seiring dengan matlamat dan isi pembelajaran yang ingin disampaikan.
3. RUMUSAN
Secara kesimpulannya, strategi pengurusan bilik darjah adalah berkait rapat dengan tiga aspek penting seperti unsur fizikal, interaksi dan iklim bilik darjah. Selain itu juga, peranan daripada guru adalah penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seiring dengan matlamat dan isi pembelajaran yang ingin disampaikan.
No comments:
Post a Comment