Sunday 11 November 2018

SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

TAJUK 13 : SEKOLAH DAN PERSEKITARAN
1. PENDAHULUAN
Sekolah sering dikaitkan dengan pendidikan kerana sekolah merupakan tempat berlakunya penyebaran maklumat dan ilmu pengetahuan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sekolah merujuk kepada tempat untuk belajar, mengajar, tempat menerima dan memberi pelajaran. Sekolah merupakan satu institusi atau organisasi formal yang bukan sekadar tempat untuk mneyebarkan ilmu pengetahuan, malahan ia juga tempat untuk menyemai budaya bangsa dan memupuk bakat, membentuk satu rupa bangsa yang boleh bersedia menerima dan menghadapi perubahan dan pembaharuan.
Persekitaran membawa maksud kawasan disekeliling suatu tempat. Persekitaran sekolah merujuk kepada suasana dalam sekolah dan masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sesebuah sekolah. Persekitaran sekolah terbahagi persekitaran fizikal dan persekitaran psikososial. Persekitaran fizikal di sekolah merujuk kepada fasiliti peralatan yang dibekalkan di sekolah. Tamsilnya, reka bentuk bilik darjah seperti pencahayaan dan pengudaraan, kebersihan bilik darjah dan sekeliling sekolah, susunan perabot, papan tulis, sumber bahan pembelajaran, bilik air, perpustakaan dan sebagainya. Suasana fizikal bilik darjah yang selesa akan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan dan pembelajaran di bilik darjah. Persekitaran fizikal sekolah yang sihat dan selamat ialah keadaan sekolah yang mempunyai kemudahan asas dan fizikal yang sentiasa bersih, ceria, selamat dan sihat.
Persekitaran psikosial pula merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah akan wujud jika mempunyai ciri-ciri seperti suasana yang selesa dan mesra, bebas daripada ancaman bahaya fizikal, suasana yang merangsang pembelajaran, menggalakka pembelajaran koperatif dan memberi peluang yang sama untuk semua murid. Faktor yang akan memberikan kesan kapada persekitaran psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran. Pendekatan pengajaran guru hendaklah mengambil kira keperluan murid di dalam kelas seperti memahami matlamat dan objektif pengajaran, perkembangan kognitif dan juga gaya pembelajaran pelajar yang berbeza. Selain itu, gaya kepimpinan guru. Gaya kepimpinan guru akan memberikan kesan kepada suasana pembelajaran pelajar. Faktor lain yang akan memberikan kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat ialah komunikasi dan corak interaksi. Kemahiran ini merupakan asas yang paling penting kepada pengurusan bilik darjah yang baik.

2. ISI PENTING
Persekitaran sekolah merujuk kepada hubungan sekolah dengan ibu bapa dan masyarakat. Hubungan ini merupakan hubungan tiga dimensi utnuk mencapai matlamat yang sama iaitu matlamat sekolah. Hubungan ini haruslah mempunyai hubungan yang mantap dan akrab antara dua pihak. Hubungan strategik akan memberi faedah kepada semua pihak yang terlibat. Masyarakat mempunyai pengaruh yang luas yang meliputi aspek ekonomi dan politik sesebuah negara. Disebabkan itu sekolah adalah satu institusi masyarakat yang bertujuan untuk menggalakkan dan memperkembangkan perubahan tingkah laku kanak-kanak mengikut arah yang dikehendaki oleh masyarakat. Setiap masyarakat mempunyai kebudayaan tersendiri dan kanak-kanak akan hidup berdasarkan kehendak masyarakat dan menyesuaikan diri di dalam masyarakatnya. Menurut Kamaruddin Haji Husin (1995), keperluan masyarakat umumnya disalurkan melalui sekolah berdasarkan pandangan hidup, visi atau wawasan serta pegangan politik masyarakat tersebut. Pencapaian pelajar  bukan sahaja bergantung kepada prestasi sekolahnya tetapi juga banyak dipengaruhi oleh cara hidup pelajar itu sendiri. Sekolah pula bertanggungjawab memberi pendidikan yang sebaiknya terhadap masyarakat. Masyarakat meletakkan sekolah sebagai satu institusi formal untuk mendidik anak-anak mereka. Oleh itu, sekolah mempunyai tanggungjawab untuk membentuk masyarakat berasaskan pendidikan dan ilmu yang diterimanya.
Pertubuhan masyarakat yang terdapat di sekitar kawasan sekolah juga sangat digalakkan kerana ia akan memberi sumbangan dalam meningkatkan prestasi pencapaian sesebuah sekolah dengan menganjurkan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan pendidikan pelajar yang berkenaan Belia Negara, Anti Dadah Kebangsaan dan sebagainya. Sumbangan ini akan menambahkan lagi ilmu pengetahuan murid –murid dan juga meningkatkan lagi mutu pencapaian persekolahan pelajar dengan adanya hubungan sosial antara warga sekolah dan masyarakat yang turut mengambil berat terhadap sekolah.
Selain daripada masyarakat, ibu bapa juga memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan anak-anak dan pendidikan. Dari segi pembentukan psikologi dan perkembangan sosial anak-anak, penglibatan ibu bapa dilihat sebagai faktor yang paling dominan dalam menentukan anak-anak di rumah dan di sekolah. Penglibatan ibu bapa merujuk kepada penglibatan dalam pendidikan atau persekolahan anak-anak menunjukkan bahawa ibu bapa sememangnya pengaruh paling besar dalam menentukan tahap pencapaian anak-anak mereka dalam akademik. Ibu bapa digalakkan untuk melibatkan diri dengan aktiviti sekolah anak-anak untuk memberikan idea dan pengetahuan mereka dalam membantu anak-anak mereka dalam bidang akademik. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk melibatkan diri dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).  PIBG ini dianggotai oleh guru-guru, ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak-anak di sekolah berkenaan. Mesyuarat agung PIBG diadakan sekali setahun untuk memilih ahli-ahli jawatankuasanya. Fungsi PIBG yang paling utama adalah untuk menjaga dan melindungi kebajikan pelajar-pelajar dan guru-guru, di samping memberi sumbangan untuk perkembangan sekolah. Selain itu, PIBG juga berperanan sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa. Dengan adanya PIBG, akan wujudnya satu hubungan yang akrab dan mesra ini mampu menyelapkan prasangka antara ibu bapa dan guru. Jika wujudnya permasalahan antara ibu bapa dan guru juga, PIBG boleh menjadi wakil dalam perbincangan dari semasa ke semasa dengan pihak sekolah dalam mengatasi sebarang kelemahan dan masalah yang dihadapi. Penglibatan aktif PIBG dapat mencabar minda, menarik minat dan memberikan motivasi yang tinggi kepada pelajar. Pengurusan PIBG yang cemerlang akan melahirkan sekolah yang terbilang daripada pelbagai aspek.

3. RUMUSAN
Kesimpulannya, hubungan sekolah dengan persekitaran seperti masyarat dan ibu bapa sangat memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan yang seimbang dari segi emosi, rohani dan fizikal. Hubungan dan kerjasama ini akan mewujudkan pemuafakatan antara pelbagai pihak bagi menjana kecemerlangan sekolah dan melahirkan masyarakat yang berkualiti. 

No comments:

Post a Comment

RUJUKAN

RUJUKAN Buku Amir Hasan Dawi. (2006). Pentorian sosiologi dan pendidikan (Edisi ketiga). Tanjong Malim, Malaysia: Quantum books. ...