TAJUK 7 : PENGURUSAN SUMBER
1. PENDAHULUAN
Seperti yang kita ketahui di setiap sekolah tidak kiralah di sekolah rendah mahupun sekolah menengah sudah tentulah mempunyai satu ruang yang dikenali sebagai pusat sumber. Pusat sumber tidaklah sekadar sebuah tempat yang memberikan suasana pembelajaran kendiri yang selesa malah ia juga merupakan suatu perkhidmatan yang ditawarkan bagi membolehkan pelanggan mendapat dan mengamal kemahiran dalam pembelajaran. Pusat sumber juga menyediakan koleksi bahan yang lengkap dan sentiasa dikemaskini sejajar dengan perkembangan pendidikan. Selain itu, pusat sumber adalah satu agen perubahan yang dapat memupuk potensi dan minat pelanggan di bidang pembelajaran.
Tujuan pusat sumber ditubuhkan adalah untuk memastikan kecemerlangan pendidikan sesebuah sekolah dapat ditingkatkan dan dikekalkan. Selain itu, ianya memudahkan para pelajar untuk mencari bahan rujukan sekiranya kurang memahami apa yang diajar sewaktu proses pembelajaran di dalam kelas. Di samping itu, dapat memupuk tabiat belajar dalam suasana yang selesa. Juga, penghasilan bahan yang dilakukan oleh pelajar seperti folio dapat dipamerkan dan menjadi tarikan baik kepada pelajar lain mahupun guru-guru. Seterusnya, menyediakan perkhidmatan pembelajaran yang baik serta kemahiran maklumat yang diperlukan oleh para pelajar.
Antara kewujudan pusat sumber adalah untuk mengenalpasti dan menyediakan koleksi bahan untuk keperluan kurikulum dan ko-kurikulum. Di samping itu, dapat berkhidmat sebagai pusat bahan dan alatan yang boleh digunakan dalam proses pembelajaran juga sebagai tempat pemilihan dan penilaian bahan sebelum digunakan. Melihat pada sudut pandangan yang lain, pusat sumber juga berfungsi sebagai tempat untuk mendapatkan panduan mencari, mengguna, menghasil dan mempersembahkan maklumat keperluan kurikulum dan yang paling penting sebagai penggalak aktiviti membaca dan kemahiran maklumat agar dapat melahirkan pelajar yang berkembang dalam kemahiran pembelajaran kendiri.
2. ISI PENTING
2.1 Ciri-ciri Pusat Sumber Yang Berkesan
i. Seluruh warga sekolah tidak kiralah samada para guru mahupun para pelajar mestilah tahu dan kenal siapakah pengurus Pusat Sumber Sekolah.
ii. Mempunyai pelbagai aktiviti menarik khususnya untuk menarik minat terutama pelajar-pelajar untuk sentiasa berkunjung ke Pusat Sumber Sekolah.
iii. Perkhidmatan dan koleksi yang disediakan boleh digunakan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).
iv. Pusat Sumber Sekolah mestilah berada di kawasan yang strategik yang memudahkan pengguna untuk berkunjung seperti di tengah-tengah kawasan sekolah.
v. Setiap yang berkunjung berasa suka dan senang hati terutama warga sekolah.
vi. Seluruh warga sekolah tahu dan faham tentang peranan Pusat Sumber Sekolah yang merupakan sebuah khidmat yang membantu dalam kurikulum.
vii. Untuk mendapatkan maklum balas yang baik sesebuah Pusat Sumber perlulah mempunyai koleksi yang sesuai, mencukupi, terkini dan menarik yang boleh menarik perhatian warga sekolah dan tidak mustahil orang luar.
2.2 Langkah-Langkah Pembentukan Pusat Sumber Sekolah Yang Berkesan
i. Menubuhkan Ahli Jawatankuasa dan pelantikan kakitangan dan merancang pengoperasian supaya Pusat Sumber dapat diuruskan dengan sistematik.
ii. Merancang pengurusan perkhidmatan seperti mengadakan bengkel dan latihan terutama kepada kakitangan yang menjaga dan mengurus Pusat Sumber.
iii. Memberikan penerangan yang jelas kepada pelanggan terutama apabila menerima tetamu luar daripada warga sekolah.
iv. Sentiasa mengemaskini rekod pengurusan lebih-lebih lagi koleksi yang ada di dalam Pusat Sumber serta menyemak stok dan menyediakan laporan tahunan sebagai rujukan pada masa akan datang sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan.
v. Mengadakan promosi kelebihan menggunakan perkhidmatan Pusat Sumber dan menyediakan hadiah kepada pengunjung yang selalu menjejakkan kaki ke Pusat Sumber untuk lebih menggalakkan warga sekolah berkunjung
2.3 Bahan Dan Perkakasan
Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan lanjutan kepada perpustakaan tradisional justeru bahan-bahannya pun sepatutnya meliputi buku-buku dan juga bahan bukan buku. Koleksi merupakan unsur asas kepada sesebuah PSS. Dengan adanya koleksi yang meluas dan meliputi pelbagai jenis alat dan bahan, ia akan memberi kesan positif terhadap penggunaan PSS. Koleksi PSS harus memenuhi kehendak kurikulum dan gaya penggunaan oleh pengguna berbagai peringkat umur dan kelainan tersendiri. Terdapat dua jenis bahan sumber yang disediakan di PSS iaitu bahan cetak dan juga bahan bukan bercetak.
l Bahan cetak
Bahan cetak merupakan bahan yang telah dicetak dan diletakkan di suatu sudut yang membolehkan orang jadikan sebagai tempat rujukan. Bahan cetak juga boleh didapati dalam bentuk tercetak secara mekanikal ataupun elektronik ke atas kertas, kad atau kertas tebal. Contoh bahan yang dicetak adalah seperti buku rujukan, buku fiksyen, nota, majalah, gambar foto, surat khabar, kertas kerja, buku bergambar dan juga buku rujukan.
l Bahan bukan cetak
Bahan bukan cetak ini pula merupakan bahan yang mudah untuk didapati kerana bahan ini tidak berkos tinggi, bahan yang berbentuk 3 dimensi, mempnyai carta, ada perkakasan, terdapat permainan yang diselitkan dan yang terakhir mempunyai perisian yang boleh menarik perhatian orang ramai. Dari segi perkakasan pula dibahagikan kepada dua, perkakasan bukan tayang dan perkakasan tayang. Bahan untuk perkakasan bukan tayang adalah seperti papan tulis, papan magnet, papan flanel dan bingkai carta flip/pusing. Manakala untuk bahan tayang pula iaitu projektor overhead, projektor slaid, projektor filem jalur dan projektor legap.
3. RUMUSAN
Kesimpulannya, dengan adanya Pusat Sumber Sekolah proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan lebih sistematik dan berkesan. Penggunaan alatan dan bahan sumber dapat membantu seseorang guru menerangkan sesuatu hukum, konsep dan hujah dengan lebih berkesan. Ini dapat memperkaya pengalaman murid-murid dan juga guru. Selain itu, Pusat Sumber juga memberi panduan kepada guru dan murid-murid untuk mencari, memiliki, menghasilkan dan menggunakan bahan selaras dengan keperluan dan tujuan masing-masing. Akhir kata Pusat Sumber Sekolah berkhidmat sebagai pusat penempatan bahan-bahan sumber dan dapat pula digunakan secara individu atau berkumpulan dimana ia bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan, iaitu bahan pelajaran dapat dipilih untuk penggunaan di dalam kelas atau di rumah. Para guru dan murid-murid boleh mendapatkan sumber-sumber yang dimiliki oleh sekolah dan yang ada kena-mengena dengan pelajaran. Bahan-bahan rujukan seperti buku, pelbagai alat bantu mengajar seperti radio, televisyen dan sebagainya boleh didapati disini.
No comments:
Post a Comment