Sunday, 11 November 2018

PENGURUSAN MURID

TAJUK 5:  PENGURUSAN MURID

1. PENDAHULUAN
Guru yang mudah mesra dengan murid akan dapat memenangi hati murid-muridnya dan menjadikan guru disayangi dan disukai. Guru yang mementingkan diri sendiri dan tidak mesra dengan murid-murid biasanya tidak popular dan tidak disukai oleh murid-murid. Sifat ramah mesra penting dimiliki oleh setiap guru. Guru yang pendiam dan tidak suka bermesra dengan murid mempunyai kelemahan kualiti sosial dan ada kemungkinan tidak yakin dengan diri sendiri (Abd. Rahim, 1999). Kajian Azizah (2000) yang berpendapat bahawa hubungan mesra di antara murid dengan sekolah dan institusi keluarga berperanan untuk meningkatan perasaan kepunyaan dan membantu mengurangkan masalah disiplin. Beliau mendapati kemesraan dan keprihatinan guru terhadap murid dapat menjadikan murid merasakan diri mereka disayangi dan akhirnya menimbulkan perasaan sayangkan sekolah. Guru yang tidak senyum ketika masuk ke bilik darjah juga menjadi faktor penghalang kepada keberkesanan komunikasi antara guru dengan murid. Menurut Jaafar Muhammad (1998), pengurusan murid ialah satu proses mengagihkan input-input organisasi dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan bagi tujuan untuk mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukan oleh pelanggan supaya objektif organisasi tercapai.
Sehubungan itu, Peter F. Ducker menyatakan pengurusan sebagai proses sosial yang dibentk untuk meberi kerjasama, penglibatan, campur tangan dan penyertaan orang lain kearah pencapaian yang berkesan bagi mencapai objektif utama. Menurut Azman B. Hj Adnan (Institut Aminuddin Baki) di dalam Kursus Pengurusan dan Kepimpinan menyatakan bahawa berlandaskan konsep asas pengurusan, pengurusan muridmerupakan satu proses mengendalikan resos-resos sama ada manusia atau fizikal dengan tujuanuntuk mencapai matlamat dan objektif pada tahap yang memuaskan.
Dalam erti kata lain, pengurusan murid merupakan proses-proses yang berkaitan dengan perancangan kerja atau program bagi murid, pengelolaan murid dan program secara berkesan, pengawalan dan penilaian prestasi murid dan program serta pemilihan cara atau kaedah yang berkesan dalam pengurusan organisasi. Oleh itu, rekod boleh didefinisikan sebagai maklumat yang telah disimpan dalam bentuk dokumen sama ada dicipta atau diterima oleh sesebuah organisasi.

2ISI PENTING
Mengurus rekod Murid
Mengurus rekod murid boleh didefinisikan sebagai bidang pengurusan yang bertanggungjawabuntuk menjaga, bersistematik mengawal penciptaan, penerimaan, penggunaan dan ciri rekodtermasuklah proses menjaga dan memelihara bukti dan maklumat murid ke dalam bentuk rekod. Hal ini menandakan bahawa mengurus rekod murid adalah satu perkara yang perlu dilakukan supaya maklumat yang berkaitan dengan murid dapat disusun dan disimpan dengan teratur, cekap dan selamat dari perkara-perkara yang akan memusnahkannya. Jika ini terjadi pastinya memberi kesan yang mendalam kerana data berkenaan murid amat diperlukan bagi merancang strategi pengajaran dan pembelajaran.
 Walau bagaimanapun, sebelum aktiviti rekod ini berlaku pentaksiran perlu dilakukan. Pentaksiran adalah proses pengumpulan maklumat tentang perkembangan dan kemajuan murid dengan menggunakan pelbagai kaedah. Perkara ini merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara berterusan dan dilaksana secara tidak formal selaras dengan Seksyen 19 Akta Pendidikan 1996. Secara tidak langsung, hasil pentaksiran membolehkan guru mengambil tindakan susulan yang berkesan dan seterusnya dapat membantu guru mengembangkan potensi murid ke tahapoptimum dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor
Sehubungan itu, tujuan pengurusan rekod murid ialah menyediakan maklumat lengkap mengenai kemajuan pelajar dalam segala aspek perkembangan potensi (intelek, rohani, jasmani dan intelek). Hal ini juga, sebagai panduan kepada ibubapa dalam memahami kemajuan dan kebolehan anak mereka. Dan menjadi sebagai panduan kepada pelajar itu sendiri untuk mengetahui potensi diri masing-masing. Oleh itu, sebagai sumber rujukan peribadi, potensi, prestasi dan pencapaian murid dalam segala aktiviti persekolahan termasuk kurikulum dan kokurikulum bagi sekolah, guru kelas, ibubapa murid, Jabatan pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran (Farizah, 2013).  Sementalahan itu, guru yang berada di sekolah perlu mengurus segala rekod murid. Mengurus rekod murid adalah seperti mengurus profil murid dengan kemas, mengurus perkembangan akdemik, emosi, sahsiah dan tingkah laku pelajar, mempunyai maklumat yang lengkap mengenai murid yang bermasalah, menyelesaikan masalah murid dan mengurus buku rekod maklumat murid.
Rekod pengurusan murid ini dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah rekod pendaftaran, rekod kedatangan, rekod prestasi, rekod profil dan rekod kutipan yuran. Rekod pendaftaran ialah suatu rekod untuk murid baru sebelum memulakan persekolahan. Rekod kedatangan pula ialah suatu rekod yang perlu ditanda setiap hari persekolahan sebelum pukul 8.00 pagi. Manakala rekod prestasi ialah suatu rekod yang digunakan untuk merekodkan prestasi murid dalam setiap mata pelajaran berdasarkan sesuatu senarai kemahiran. Namun, rekod profil ialah suatu rekod yang digunakan untuk markah dan gred yang diperoleh oleh murid dalam ujian penggal atau peperiksaan sekolah. Dan rekod kutipan yuran pula ialah kutip yuran pada suatu hari diuruskan oleh guru kelas. Kutipan yuran ditandatanganu oleh pihak sekolah sebagai akuan penerimaan yuran yang diserahkan.
Seterusnya, kaedah terkini dalam menguruskan rekod murid ialah melalui sistem maklumat murid berkomputer (SMM). Sistem ini telah diperkenalkan pada tahun 2000. Dalam sistem ini mempunyai maklumat murid, rekod kesihatan murid, rekod rancangan makanan tambahan, rekod skim pinjaman buku teks, rekod kedatangan harian dan kemudahan untuk mendaftar untuk murid. Kelebihan system ini ialah maklumat murid tidak perlu ditulis secara berulang-ulang kali dan memudahkan urusan guru-guru. Kaedah seterusnya ialah E-Pantau. E-pantau ialah suatu gabungan sistem maklumat murid dan sistem pengurusan peperiksaan. Tujuan E-pantau ini ialah untuk memantau prestasi peperiksaan dan ujian bulanan di sekolah dan meringkan beban guru untuk membuat analisis pencapaian pelajar. Dan kaedah yang terakhir ialah Sistem laporan adab belajar. Sistem ini dilaksanakan pada januari 2004. Sistem ini memberi kemudahan untuk menyusun kedudukan murid dalam kelas dan aliran, menganalsis markah maksimum dan minimum yang diperolehi oleh murid didalam kelas. Oleh itu, ibubapa dapat membandingkan dengan sendiri pencapaian anak mereka dengan murid yang lain didalam kelas.

Kesediaan Murid Belajar
Kesedian murid belajar membawa maksud keadaan dalam individu yang bersedia dan berupaya untuk mempelajari sesuatu dengan tujuan memperolehi pengalaman pembelajaran yang baru. Piaget (1996), mengaitkan kesediaan belajar dengan peringkat perkembangan kognitif murid. Apa jua perkara yang dapat disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak pada bila-bila peringkat perkembangannya (Brunner, 1966).  Oleh itu, kesediaan murid belajar juga boleh didefinisikan kepada tahap kesediaann pelajar sewaktu belajar perlu dianalisis oleh guru-guru. Melalui tahap yang dikaji, guru-guru dapat mengatasi masalah yang tidak diingini seperti berlakunya konflik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Kesediaan murid belajar telah dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah kesediaan kognitif, kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor. Kesediaan kognitif ialah suatu yang berkait rapat dengan mental untuk memahami dan juga untuk berfikir. Perkembangan mental juga bergantung kepada tahap umur seseorang murid. Manakala, kesediaan afektif ialah suatu kesediaan yang merujuk kepada sikap, keinginan, ketekunan, perasaan, minat dan nilainya untuk menerima pelajaran yang disampaikan. Sebagai contoh, pelajar yang bersikap positif dan berminat terhadap pelajaran akan memainkan peranan yang aktif dan agresif dalam aktiviti itu. Dan kesediaan terakhir ialah kesediaan psikomotor. Kesediaan ini merujuk kepada penguasaan kemahiran yang berpusat kepada tindakan fizikal termasuklah perkembangan fizikal iaitu fungsi anggota dan pengawalan penyelarasan penggerak didalam seluruh tubuh badan. Hal ini juga, merujuk kepada potensi atau kematangan fizikal dan kesediaan untuk melakukan proses pembelajaran yang baru.
Seterusnya, masalah perbezaan kesediaan belajar. Masalah ini berlaku meliputi 6 aspek iaitu perbezaan perkembangan mental, perbezaan sikap dan minat, perbezaan kadar pertumbuhan fizikal, perbezaan keyakinan diri, perbezaan jantina dan perbezaan dalam diri individu. Perbezaan perkembangan mental ini berlaku dalam peringkat umur yang sama, tetapi kanak-kanak mempunyai corak perkembangan kecerdasab yang berbeza. Perkembangan ini wujud secara semulajadi. Guru akan menghadapi masalah melayani murid mengikut perbezaan yang wujud. Selain itu, perbezaan sikap dan minat. Dalam hal ini, murid yang berminat akan mencapai prestasi yang cemerlang dalam pembelajaran walaupun wujud perbezaan ini, murid masih ditempatkan dalam kelas atau aliran yang sama. Guru juga akan menghadapi masalah dalam memilih isi kandungan, bahan dan alat bantu mengajar. Perbezaan kadar pertumbuhan fizikal pula setiap individu mempunyai corak pertumbuhn yang unik. Kanak-kanak dalam kumpulan umur yang sama tidak mempunyai kebolehan yang sama (ada kelebihan dan kelemahan tersendiri). Masalah kepada guru dalam merancang pelajaran yang memberi kepuasan kepada mereka.
Disamping itu, perbezaan keyakinan diri. Pelbagai status sosioekonomi dapat membina keyakinan yang berbeza. Oleh itu, murid yang datang daripada latar belakang keluarga yang miskin dan kurang akan menceburkan diri mereka dalam pembelajaran yang aktif. Hal ini kerana, mereka akan lebih berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan dan mereka akan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dalam diri. Perbezaan jantina pula ialah lelaki dan perempuan yang mempunyai perkembangan biologi dan fizikal yang berbeza. Pertumbuhan peringkat remaja, perempuan akan berkembang lebih pesat dan mencapai kedewasaab berbanding lelaki. Masalah kesediaan belajar berpunca daripada pengaruh nilai kebudayaan terhadap jantina. Oleh itu, guru haruslah menyedari perbezaan jantina semasa membuat perancangan pelajaran. Dan masalah yang terakhir ialah perbezaan dalam diri individu. Kebolehan yang berbeza dalam bidang tertentu. Sebagai contoh, seorang murid yang cerdik tidak semestinya pandai dalam semua perkara. Oleh itu, guru tidak boleh menggolongkan murid sebagai ‘pandai” dalam satu bidang pengajaran. Perancangan pelajaran perlu mengambil kira masalah perbezaan yang wujud dalam diri invidu.

Memotivasikan Pelajar
Motivasi merupakan rangsangan yang membangkitkan minat seseorang individu kearah mencapai sesuatu matlamat tertentu. Motivasi juga merujuk kepada satu kuasa dalaman yang membangkit, mengarah dan mengawal minat serta tingkahlaku manusia (Wolfolk, 1990). Motivasi boleh didefinisikan kepada pelajar-pelajar akan bersemangat dalam mempelajari ilmu pengetahuan sekiranya guru-guru sentiasa memberikan motivasi secara berterusan. Sesi motivasi yang dilakukan boleh diadakan melalui program ceramah bagi meningkatkan prestasi pelajar-pelajar secara berterusan dan mendorong pelajar untuk mencapai matlamat guru. Oleh itu, bantuan daripada guru akan menyebabkan murid sentiasa berusaha bersungguh-sungguh.
Motivasi pelajar ini dibahagikan kepada 2 teknik iaitu teknik intrinsik dan ekstrinsik. Teknik intrinsik ialah teknik dorongan dalaman dan minat yang terdapat pada diri seseorang murid untuk melakukan sesuatu tanpa memikirkan ganjaran. Teknik ini juga berkaitan dengan sifat semula jadi seseorang dengan unsur yang sedia ada dalam proses pembelajaran dan dapat dikaitkan dengan naluri ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan seseorang. (Bruner, 1966). Sebagai contoh, bermain piano atau menggubah lirik lagu. Hal ini dapat membuktikan bahawa seseorang yang pandai bermain piano ini lahir dalam diri mereka yang secara semulajadi dan boleh dipelajari dengan lebih baik oleh guru-guru yang cekap. Diwujudkan secara semulajadi tetapi boleh terbentuk dari pengalaman dan pembelajaran. Sebagai contoh, tabiat membaca buku cerita dan bermain alat muzik. Manakala, teknik ekstrinsik ialah diwujudkan daripada rangsangan luaran dengan tujuan menggerakkan seseorang untuk melakukan sesuatu aktiviti yang akan membawa faedah kepadanya.
Cara guru meningkatkan motivasi kepada pelajar ialah melalui persekitaran pengajaran dan pembelajaran dan pembelajaran koperatif dan kolaboratif. Kedua-dua cara ini sangat penting bagi meningkatkan pretasi pelajar dan mereka dapat belajar dengan lebih tenang. Melalui persekitaran pengajaran dan pembelajaran, menyediakan suasana bilik darjah yang kondusif untuk pelajar. Sebagai contoh, penyusunan meja mengikut abad 21. Dalam penyusunan meja abad 21 ini tidaklah mengasingkan pelajar yang pandai sesama pandai dan yang lemah sesama lemah. Guru perlulah menyusun meja abad 21 ini kepada kelompok yang berbeza dan bercampur agar murid merasa diri mereka tidak terasing terutamanya golongan yang lemah. Sehubungan itu, guru perlulah menentukan sasaran dan taraf pencapaian akademik yang perlu dicapai oleh pelajarnya. Dan pelajar juga perlu menglibatkan diri dalam semua aktiviti pembelajaran di dalam kelas atau diluar kelas. Melalui cara yang kedua iaitu pembelajaran koperatif dan kolaboratif. Mewujudkan suasana tolong menolong antara pelajar. Sebagai contoh, guru haruslah menyarankan murid yang pandai membantu muridyang lemah. Bukan mengasingkan mereka yang lemah dengan yang lemah dan mereka yang pandai dengan yang pandai. Seharusnya guru mencampurkan mereka agar murid yang pandai dapat membantu rakan mereka yang lemah dan tidak membiarkan rakan mereka tidak memahami.

 3RUMUSAN
Sebagai kesimpulannya, pengetahuan dan kemahiran mengurus merupakan satu keperluan profesionalisme yang perlu dipertingkatkan dalam kalangan guru untuk kepentingan bukan sahaja kepada diri juga kepada para murid. Oleh itu, penilaian yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun. Melalui aktiviti tindakan susulan yang efektif, guru dapat membantu murid meningkatkan kemajuan dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pecapaian cemerlang dalam penilaian. Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Hal ini kerana, pelaksanaannya disesebuah sekolah tersebut akan mencerminan prestasi sekolah. Kepimpinan sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya menjalankan tugas pentadbiran dan penyelenggaraan.
Sehubungan itu, guru-guru juga perlu mempercayai kebolehan semua pelajar dan tidak seharusnya mengabaikan pelajar-pelajar yang lemah. Kepercayaan guru terhadap pelajar mampu memberikan semangat kepada semua pelajar untuk terus berusaha dalam pelajaran. Oleh itu, bimbingan, penasihatan dan mentoring merupakan kaedah yang boleh digunakan untuk membantu pelajar dalam aspek-aspek pembelajaran dalam kehidupan. Ketiga-tiga kaedah ini dikenalpasti sebagai satu strategi untuk membangunkan diri murid secara menyeluruh dan antara tujuan utama adalah untuk meningkatkan pencapaian akademik murid serta memotivasikan pelajar.



No comments:

Post a Comment

RUJUKAN

RUJUKAN Buku Amir Hasan Dawi. (2006). Pentorian sosiologi dan pendidikan (Edisi ketiga). Tanjong Malim, Malaysia: Quantum books. ...