TAJUK 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH
1. PENDAHULUAN
Pengurusan bilik darjah adalah suatu proses yang melibatkan penyusunan fizikal sesebuah bilik darjah, galakan komunikasi dan interaksi antara murid. Bilik darjah merupakan persekitaran pembelajaran yang merangkumi aspek murid, guru, ruang dan alat pembelajaran. Sehubungan itu, bilik darjah boleh didefinisikan kepada suatu tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran dan tempat yang terpenting di sekolah. Bilik darjah juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seorang guru. Kronowitz (2004) mencadangkan agar guru menyediakan satu sudut yang boleh membantu pelajar mengisi masa yang terluang dalam satu suasana yang berbeza berbanding bilik darjah mereka tetapi masih mengekalkan budaya belajar pada ruang tersebut seperti perpustakaan mini. Ruang ini bolehlah dihiasi dengan hiasan yang ringkas dan unik agar pelajar merasa selesa dan tenang.
Robertson (1989) menyatakan guru perlu yakin, tegas dan mengetahui tentang haknya untuk bertindak dalam menguruskan tingkah laku pelajar di bilik darjah. Oleh itu, guru pelatih perlu tegas dan konsisten dengan apa yang telah ditetapkan dalam prosedur peraturan tanpa ada pengecualian kepada mana-mana pelajar. Guru juga perlu menjelaskan harapannya terhadap pelajar dan perkara-perkara yang tidak disukai dilakukan oleh pelajar.
2. ISI PENTING
Ilmu mengurus bilik darjah
Dalam pengurusan bilik darjah terdapat beberapa aktiviti dan ruang yang disediakan bagi menarik minat pelajar untuk belajar. Antara aktiviti yang dilakukan dalam kelas ialah aktiviti pengajaran secara berkumpulan dan aktiviti pengajaran secara individu. Aktiviti pengajaran berkumpulan ialah satu kaedah pengajaran yang memerlukan murid-murid menjalankan aktivti dalam kumpulan, sama ada kumpulan kecil mahupun kumpulan besar. Aktiviti pengajaran berkumpulan ini wujud bagi memudahkan guru membimbing murid-murid dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam sistem. Di samping itu, guru juga mudah mengesan maklumbalas pembelajaran muird-murid.
Selain itu, fungsi pembelajaran berkumpulan adalah seperti menggalakkan penglibatan aktif individu dalam kumpulan. Ini memberikan peluang yang lebih banyak kepada setiap murid untuk melibatkan dri dalam perbincangan. Menggalakkan kerjasama antara murid. Hal ini dapat mengeratkan hubungan antara murid-murid dengan ahli kumpulan. Sehubungan itu, membolehkan murid yang cerdas atau pandai membantu murid yang lemah dan memupuk rasa tanggungjawab murid terhadap kumpulan dan ahli-ahli dalam kumpulan. Sebagai contoh, murid mengambil dan mengguna alat atau bahan pengajaran yang disediakan. Murid dan ahli kumpulan perlulah bertanggunjawab keatas alat atau bahan yang diambil untuk disimpan ke tempat yang disediakan dengan kemas dan teratur.
Seterusnya, aktiviti pengajaran individu. Di dalam sesebuah kelas terdapat murid-murid yang berbeza dari segi kecerdasan, kebolehan, bakat, cita-cita dan minat. Oleh itu, setiap murid berhak untuk mendapat peluang memperkembangkan kecenderungan mereka secara menyeluruh. Aktiviti pengajaran individu, murid-murid belajar menguasai berbagai-bagai kemahiran mengikut kaedah kebolehan masing-masing. Ada murid memerlukan masa yang singkat, ada pula yang memerlukan masa yang lama untuk memahami dan menguasai kemahiran tertentu. Oleh itu, pembelajaran individu akan berlaku walaupun pengajaran dibuat secara kelas, kumpulan dan pasangan. Apa yang penting ialah setiap murid dibimbing untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran.
Kemahiran Mengurus Bilik Darjah
Tugas sebagai pengurus, khusus di peringkat bilik darjah memerlukan pelbagai kemahiran. Antara kemahiran yang sangat penting dimiliki oleh seseorang guru ialah kemahiran merancang dan mengurus, kemahiran pengajaran, kemahiran interpersonal, kemahiran komunikasi, kemahiran kepimpinan, kemahiran kaunseling dan kemahiran teknologi maklumat.
Kemahiran merancang dan mengurus ini amat bergantung kepada kebolehan dan kemahiran guru untuk mengikut perubahan serta kemajuan pembelajaran yang berlaku dibilik darjah. Perancangan yang baik akan memberi kesan yang positif kepada kemajuan dan perkembangan pelajar, pelaksanaan kurikulum, kecekapan pengajaran, kegiatan dan aktiviti pembelajaran yang berlaku dibilik darjah. Perancangan yang lemah dan kurang teratur akan memberi kesan sebaliknya iaitu menjadikan perjalanan dan proses pembelajaran yang berlaku dikelas kurang memuaskan dan menimbulkan pelbagai masalah. Seterusnya, kemahiran penagajan. Kemahiran pengajaran ini akan mencorakkan suasana belajar yang menarik, mencabar dan mengembangkan potensi pelajar. Kemahiran pengajaran ini juga bergantung kepada strategi dan pendekatan pengajaran yang berfokuskan kepada objektif, teratur, jelas, mudah difahami, melibatkan pelajar secara aktif, penggunaan alat bantu mengajar secara kreatif dan inovatif.
Disamping itu, kemahiran interpersonal. Kemahiran interpersonal ialah kemahiran sosial yang sangat penting bagi membolehkan seseorang guru memainkan peranan sebagai pendidik di bilik darjah. Guru juga perlu mempunyai kebolehan dan kemahiran ini bagi membolehkannya menangani pelbagai masalah personal dan konflik interpersonal yang wujud dalam corak hubungan di kelas. Selain itu, kemahiran komunikasi. Kemahiran komunikasi yang baik perlu ada dalam diri seseorang guru. Sifat peramah dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai kelompok sosial yang berbeza meemerlukan komunikasi yang baik di kalangan guru. Penguasaan dan penggunaan bahasa yang baik dan cekap sangat penting bagi mewujudkan komunikasi yang berkesan. Oleh itu, seseorang guru perlulah menguasai beberapa bahasa bagi mendedahkan dirinya dengan dunia sosial dan intelek yang lebih luas.
Strategi Mengurus Bilik Darjah
Perancangan dan pengurusan yang cekap melibatkan pelbagai strategi yang membolehkan matlamat dan objektif dicapai dengan berkesa. Guru yang mahir dan cekap mempunyai kebolehan yang tinggi untuk merancang dan mengurus bilik darjah. Strategi juga melibatkan pelbagai prosedur, kaedah, teknik dan pendekatan yang digunakan oleh guru bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bilik darjah. Strategi jangka pendek dan strategi jangka panjang yang dirangka mencorakkan perkembangan, perubahan dan kemajuan pelajar di bilik darjah. Perancangan pengajaran dan pembelajaran adalah asas utama mencorakkan kualiti pendidikan yang diterima oleh pelajar-pelajar dibilik darjah. Oleh itu, terdapat beberapa strategi mengurus bilik darjah. Antaranya ialah membetuk iklim bilik darjah, prestasi dan kecekapan pengajaran guru, aktivti pembelajaran pelajar dan perkembangan dan pencapaian pelajar.
Mengikut kepada strategi pertama iaitu membentuk iklim bilik darjah. Iklim bilik darjah membawa maksud suasana dan keadaan pembelajaran yang menarik dan merangsangkan perkembangan kognitif, afektif, sahsiah dan sosial murid. Iklim bilik darjah dapat diwujudkan dengan memupuk nilai dan semangat kerjasama, bertanggungjawab dan semangat belajar yang tinggii didalam bilik darjah. Seterusnya, strategi prestasi dan kecekapan pengajaran guru. Guru yang berprestasi tinggi ialah guru yang cekap dan berkebolehan mencorakkan kemajuan pelajar dan mampu menangani masalah pembelajaran pelajar dibilik darjah.
Disamping itu, aktiviti pembelajaran pelajar merupkan strategi mengurus bilik darjah. Proses pembelajaran dinamik yang berlaku menjadikan bilik darjah suatu organisasi pembelajaran yang sangat berkesan untuk mendorong kemajuan pelajar. Oleh itu, strategi yang berkesan dapat menetukan sesuatu aktiviti pembelajaran itu dirancang dan dilaksanakan adalah relevan dan sesuai dengan matlamat kurikulum. Strategi yang terakhir ialah perkembangan dan pencapaian pelajar. Matlamat utama perancangan dan pengurusan bilik darjah adalah untuk menentukan perkembangan dan pencapaian positif dan dinamik pelajar dalam semua aspek seperti akademik, akhlak, sikap dan tingkah laku. Oleh itu, ini selaras dengan wawasan menjadikan bilik darjah sebagai organisasi pembelajaran dan pembangunan murid.
3. RUMUSAN
Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah merupakan tugas penting yang memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum bagi memperoleh kesan yang maksimum. Guru perlu mendapat maklumat secukupnya tentang bilik darjah dan pelajar-pelajarnya terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam bilik darjah. Persediaan JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek, Sosialisasi) guru pelatih yang lengkap akan membolehkan pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan jaya, ceria dan cemerlang.
Sementalahan itu, aktiviti pengajaran berkumpulan ialah kaedah yang dititikberatkan oleh KBSR bagi menjamin murid mendapat layanan dan pembelajaran semaksimum yang mungkin. Guru juga boleh membuat sedikit perubahan yang bersesuaian dengan murid, bahan dan keadaan fizikal kelas. Sehubungan itu, aktiviti pengajaran individu juga sebagai satu pendekatan dan strategi yang menyeluruh bagi memenuhi matlamat perkembangan pendidikan murid. Guru memainkan peranan yang sangat penting bagi menyediakan pengalaman pembelajaran kepada murid dan membantu perkembangannya. Oleh itu, peranan murid juga tidak kurang pentingnya. Dia harus bertanggungjawab terhadap keseluruhan proses pembelajarannya dengan melibatkan diri sepenuhnya dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Akhir sekali, guru haruslah mengetahui apakah maksud dengan pengurusan bilik darjah, kemahiran dan strategi yang perlu ada dalam diri seorang guru bagi memastikan objektif dan matlamat sekolah tercapai dan mengikut peredaran zaman dan dapat membina organisasi di dalam kelas dengan baik. Guru juga harus cekap dan kreatif untuk menguruskan bilik darjah dan mengatasi masalah murid yang sering berlaku didalam bilik darjah.
No comments:
Post a Comment