Sunday 11 November 2018

PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA

TAJUK 11 : PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA

1. PENDAHULUAN
Pengurusan ialah mengawal, mengarah atau matlamat. Manakala budaya pula dimaksudkan sebagai cara hidup yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat ataupun oleh sekumpulan manusia. Budaya merupakan sesuatu yang dikongsi oleh sekumpulan masyarakat. Sesuatu budaya dipelajari melalui proses pembelajaran. Budaya tidak terhad kepada budaya perkauman, budaya tidak terhad kepada budaya perkauman Pengurusan pelbagai budaya merupakan kaedah penyusunan dan perancangan sesebuah kelas yang terdiri daripada pelajar pelbagai budaya. Pengurusan pelbagai budaya adalah penting dalam menguruskan sekolah kerana pengurusan pelbagai budaya mampu memberi implikasi kepada semua warga di dalam sekolah termasuklah pendidik dan anak didik. Di dalam sesebuah sekolah akan wujudnya pelbagai budaya yang dipratikkan oleh pelajar yang mampu mempengaruhi suasana pembelajaran mereka. Budaya sekolah ini juga merujuk kepada sejumlah nilai, budaya, praktis-praktis keselamatan dan struktur organisasi di sekolah yang mempengaruhi dan memberi kesan kepada proses pembentukan tingkah laku dan keselamatan pelajar di sekolah. Pengurusan pelbagai budaya penting dalam memastikan guru dan pelajar menambah ilmu pengetahuan, amalan profesion keguruan meningkat dan produktiviti bertambah.

2. ISI PENTING
Kepelbagaian budaya adalah satu sistem kepercayaan dan tingkah laku yang mengiktiraf dan menghormati kewujudan kepelbagaian dalam kelompok dalam sesebuah organisasi atau masyarakat, mengakui dan menghargai perbezaan sosial budaya dan menggalakkan serta menerima sumbangan berterusan mereka dalam konteks budaya yang inklusif dalam organisasi atau masyarakat berkenaan. Dari segi hakikat kejadian manusia memang berbeza antara satu sama lain. Malaysia antara sebuah negara yang kaya dengan pelbagai bangsa dan budaya maka tidak hairanlah di dalam sesebuah sekolah terdapat berbagai bangsa. Dan sebagai seorang guru pula yang bertindak sebagai agen untuk mencapai keharmonian dalam masyarakat pelbagai budaya terutama di sekolah kerana gurulah yang mencorak perilaku murid yang positif. Namun terdapat segelintir guru yang mengajar pelajar seolah-olah semuanya sama tahap seperti kebolehan, kesediaan, motivasi dan jangkaan yang sama. Hakikatnya pelajar adalah sama sekali berbeza dari segi minat, gaya pembelajaran dan jangka masa yang diperlukan untuk belajar. Keadaan ini memerlukan kaedah dan teknik pengajaran yang berbeza. Sebahagian pelajar memerlukan bimbingan secara terus oleh guru namun terdapat sebilangan pelajar pula mampu belajar secara berkesan dengan penglibatan guru yang minimum.
Banyak perbezaan di kalangan pelajar termasuklah perbezaan bangsa, agama, taraf keluarga dan juga jantina. Ianya juga melibatkan golongan minoriti (orang asli). Pihak sekolah memikul tanggungjawab bagi memastikan samada struktur program mereka mampu memberi kesan terhadap kepelbagaian pelajar. Dengan itu guru perlu menggunakan kaedah dan teknik pengajaran yang berbeza agar semua pelajar dapat bimbingan secara terus oleh guru dan guru tidak seharusnya berat sebelah terutama apabila menyampaikan ilmu. Antara kaedah yang boleh digunakan ialah pendidikan secara inklusif iaitu satu model untuk sekolah-sekolah menangani ciri kepelbagaian di kelas biasa. Pendidikan inklusif dalam konteks pendidikan khas adalah pendidikan yang diberikan kepada murid-murid dengan keperluan pendidikan khas yang belajar bersama-sama dengan murid-murid normal, di dalam kelas yang sama dan diajar oleh guru biasa (Sabri Salleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, 1996).
Dalam pada itu, pihak sekolah terutama para guru harus tahu cara untuk mengawal pengurusan merentas budaya ini. Pengurusan merentas budaya ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar untuk mempelajari dan mengenal pelbagai budaya. Selain itu, mereka dapat menghargai dan berkongsi nilai-nilai masyarakat yang mereka tahu serta dapat sama-sama belajar bahasa kebangsaan. Perkara ini khususnya kepada bangsa cina dan india yang ingin mendalami lebih lagi mengenai bahasa kebangsaan kita iaitu Bahasa Malaysia. Malah apa yang lebih menarik lagi pelajar dapat bersama-sama belajar bahasa ibunda masing-masing yang sememangnya kita tahu setiap bangsa mempunyai pelbagai dialek dan loghat.
Bagi memastikan pengurusan merentas budaya ini berjaya, institusi sekolah merupakan entiti utama dalam keseluruhan sistem sosial masyarakat. Hal ini adalah kerana sekolah merupakan rumah kedua bagi pelajar-pelajar memandangkan mereka lebih banyak meluangkan masa di sekolah berbanding di rumah sendiri. Guru yang bertanggungjawab memastikan anak-anak murid sentiasa menjaga perilaku sewaktu berada di kawasan sekolah. Guru juga memainkan peranan penting semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, bersesuaian dengan falsafah pendidikan kebangsaan, pendidikan merupakan sebagai satu saluran untuk mencapaikan ciri-ciri masyarakat dan kebudayaan ke dalam minda generasi terutama para pelajar.
Kemajmukan dalam masyarakat perlu ditanam dalam diri setiap individu sejak dari kecil demi mengekalkan keharmonian dan saling menghormati antara kaum. Ia demi memastikan dan membolehkan keamanan negara dapat dikekalkan sepanjang masa. Perbezaan budaya adalah positif dan meningkatkan martabat masyarakat kerana ia memberi setiap individu lebih banyak peluang untuk mendapat pengalaman budaya lain di samping memahami budaya sendiri. Ianya juga dianggap sebagai satu kekuatan dan bukannya kelemahan. Selain itu pendekatan kurikulum dan pelbagai budaya juga bertujuan untuk memahami masalah dan kesukaran yang dialami oleh pelajar dalam proses persekolahan mereka. Pihak sekolah mampu menyediakan skop sokongan kepada lebih ramai pelajar termasuklah pelajar yang diasingkan daripada sekolah dan kelas biasa.
Kita tahu dalam menjaga pengurusan pelbagai budaya di sekolah banyak isu yang sering timbul di mana yang boleh membawa kesukaran bagi pihak sekolah. Antara isu tersebut ialah perasaan prejudis antara budaya guru-guru dan para pelajar. Pelajar-pelajar membawa budaya mereka tersendiri yang berbeza dengan budaya makro (budaya dominan) yang menjadi budaya formal sekolah. Mereka berbeza dari segi cara berkomunikasi, nilai-nilai sosial dan intelektual, gerak badan serta pandangan mereka yang dipengaruhi oleh budaya masyarakat asal mereka. Terdapat juga guru yang membawa budaya mereka tersendiri ke dalam bilik darjah maka dari situ timbullah masalah dalam sistem komunikasi dan cara berinteraksi dengan murid. Selain itu, stereotaip juga wujud dalam kalangan murid yang berbilang kaum. Ada murid yang berfikiran negatif terhadap kaum yang lain dan lebih positif kepada guru yang sama kaum dengan mereka.
Seterusnya ialah isu dalam pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi dan globalisasi. Setiap individu terutama para pelajar terdedah kepada pandangan dunia dan mempunyai landasan untuk mereka meluahkan perasaan dan pandangan yang mereka miliki secara tebuka. Oleh hal yang demikian, guru-guru perlu memastikan maklumat tentang konsep pelbagai budaya terutama dalam kawasan persekitaran sekolah dijelaskan kepada para pelajar supaya ia tidak diputar belitkan atau disalah faham oleh para pelajar itu sendiri.
Lain daripada itu, terdapat juga isu berkaitan pengisian kurikulum dan kokurikulum di sekolah. Ianya adalah kerana sekolah kebangsaan tidak menjadikan bahasa ibunda kaum Cina dan India sebagai subjek wajib dan telah menyebabkan ibu bapa daripada kaum tersebut kurang berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Perkara sebegini seharusnya dipandang serius oleh pihak yang berwajib kerana kita tidak mahu wujudnya jurang antara kaum lebih-lebih lagi kepada anak-anak kerana merekalah yang menjadi tunjang kepada negara ini.

3. RUMUSAN
Tuntasnya, kita sedia maklum bahawa guru merupakan aset penting dalam pembentukan pelajar yang terdiri daripada pelbagai budaya. Maka dengan itu seseorang guru itu haruslah berusaha dalam menangani masalah-masalah yang dilakukan oleh pelajar-pelajarnya yang datang dari pelbagai sudut dan aspek. Selain itu guru juga harus mewujudkan sudut-sudut sejarah dan patriotik di mana sudut-sudut ini dapat memberi kesedaran kepada para pelajar mengenai betapa pentingnya perpaduan antara kaum-kaum dari pelbagai latar belakang etnik untuk mewujudkan sebuah negara yang aman dan makmur. Dengan itu juga secara tidak langsung ia dapat mewujudkan satu suasana mesra budaya dalam bilik darjah. 

No comments:

Post a Comment

RUJUKAN

RUJUKAN Buku Amir Hasan Dawi. (2006). Pentorian sosiologi dan pendidikan (Edisi ketiga). Tanjong Malim, Malaysia: Quantum books. ...