Sunday 11 November 2018

PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA

TAJUK 12 : PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA
1. PENDAHULUAN     
Pengurusan murid pelbagai upaya ini merupakan salah satu inisiatif pihak Kementerian Pendidikan dalam membantu murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran. Inisiatif ini diteruskan lagi dengan mewujudkan Pendidikan Khas untuk pelajar yang mempunyai permasalahan dari segi mental ataupun fizikal. Menurut Jabatan Pendidikan Johor (1998) menyatakan bahawa Pendidikan Khas ialah golongan mereka yang berkeperluan khas dengan memberi penekanan kepada kebolehan, kefungsian, kemahiran, perkembangan individu murid dan pelajar terhadap penguasaan dan pencapaian dalam kemahiran-kemahiran perkembangan (developmental skills). Pendidikan khas ini merupakan satu pendekatan kepada kepada para guru untuk lebih mendekati dan mengajar para pelajar yang mempunyai masalah kerana mereka tidak akan berupaya untuk mencapai target atau pencapaian yang telah ditetpakan dalam program sekolah aliran perdana.

2. ISI PENTING
Pengurusan murid pelbagai upaya ini mempunyai empat aspek penting yang perlu difokuskan iaitu pemulihan, pengayaan, pelbagai kecerdasan dan berkeperluan khas. Aspek-aspek yang dihasilkan ini mempunyai perbezaan dalam ciri-ciri, konsep dan tujuannya mengikut aspek yang telah ditentukan. Selain itu, pendidikan khas ini bukan sahaja tertumpu kepada pelajar yang bermasalah pembelajaran sahaja malahan juga tertumpu kepada pelajar yang cerdik. Kurikulum Pendidikan Khas ini juga merupakan kurikulum yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ingin melahirkan pelajar yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Pengurusan murid yang dilakukan di setiap sekolah ialah pemulihan. Pemulihan merupakan salah satu langkah yang diambil untuk setiap sekolah bagi mengajar murid-murid yang mempunyai kesukaran untuk mahir dalam kemahiran asas seperti membaca, mengira dan menulis. Menurut Blair (1956), pemulihan ialah program khas berbentuk tambahan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran agar ketidakupayaan yang mengahalangnya dapat diatasi. Aktiviti pemulihan tertumpu kepada penguasaan kemahiran. Pemulihan akan dilakukan oleh guru-guru yang khusus dan di tempat yang khusus. Pemulihan ini dilakukan berlandaskan buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan Pemulihan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Setiap murid-murid mempunyai perbezaan minat, pengalaman, bakat dan gaya belajar adalah salah satu punca mereka lebih lambat untuk memahami subjek yang diajarkan oleh guru-guru di dalam kelas dan hal ini akan jadi lebih teruk jika diambil lewa. Selain itu, kekalutan pihak guru untuk menghabiskan silibus yang perlu diajar dan kaedah pengajaran tersebut yang tidak sesuai dengan segelintir pelajar juga menyebabkan mereka ketinggalan dan tidak memahami apa yang diajarkan. Dengan itu, program pemulihan ini merupakan salah satu tindakan yang segera untuk membantu murid-murid tersebut sebelum masalah ini menjadi lebih teruk. Antara ciri-ciri murid yang perlu ke program pemulihan khas ialah pelajar yang rendah diri, pasif, kerap tidak hadir ke sekolah, lemah pemahaman, malas dan cepat bosan. Jadi, sebagai seorang guru hendaklah menggunakan strategi dan cara yang berbeza untuk sesi pengajaran di dalam kelas mengikut keupayaan pelajar. Guru juga hendaklah membentuk personality yang baik dalam diri murid untuk memberi semangat dalam diri setiap pelajar untuk lebih bersemangat menuntut ilmu.
Sebagai seorang guru hendaklah mengetahui bahawa setiap pelajar mempunyai tahap yang berbeza iaitu pandai, sederhana dan lemah. Jadi pembelajaran hendaklah mengikut keupayaan mereka, Pelajar yang pandai akan merasa cepat bosan di dalam kelas jika pembelajaran atau aktiviti di dalam kelas tidak mencabar. Sejurus dengan itu, salah satu inisiatif yang dilakukan ialah pengayaan. Pengayaan ialah satu aktiviti tambahan yang diberikan kepada murid-murid yang dapat menguasai sesuatu kemahiran dengan lebih awal. Dengan itu, murid-murid dapat menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan pembelajaran. Aktiviti pengayaan boleh dilakukan tanpa guru kerana aktiviti yang dilakukan adalah untuk memberi peluang kepada murid-murid melakukan aktiviti secara kendiri atau individu. Pengayaan terbahagi kepada dua iaitu pengayaan mendatar dan pengayaan menegak. Pengayaan mendatar ialah aktiviti yang dilakukan mengikut kebolehan murid dalam sesuatu kumpulan tersebut. Kadar kesukaran pengayaan aktiviti adalah berlandaskan keupayaan individu tersebut dan jenis aktiviti tersebut adalah berlandaskan unit kemahiran yang diajar oleh guru di dalam kelas. Tujuan pengayaan ini dilakukan untuk mengukuhkan kemahiran yang dikuasai oleh murid-murid dan menarik lagi minat mereka dalam aktiviti yang dilakukan di dalam kelas. Pengayaan menegak pula aktiviti yang berlandaskan minat dan kebolehan murid dalam kumpulan yang cerdas sahaja. Kadar kesukaran aktiviti pengayaan menegak adalah sama dan jenis aktiviti yang dilakukan seperti permainan, kertas projek dan rekreasi. Dalam program pengayaan ini bukan sahaja untuk murid-murid mengalami pembelajaran yang lebih menarik malah dapat memperkembangkan aspek fizikal, emosi, minat, kebolehan daya cipta dan bakat individu secara menyeluruh.
Di samping itu, aspek yang dilihat penting dan perlu diambil langkah-langkah pembaikan oleh pihak guru ialah murid yang berkeperluan khas. Kanak-kanak berkeperluan khas ini terdiri daripada kanak-kanak yang mengalami kesukaran dalam pembelajaran. Selain itu, kanak-kanak yang Pintar Cerdas dan mempunyai kebolehan yang normal dan jauh lebih tinggi daripada kanak-kanak yang lain juga dikategorikan sebagai kanak-kanak berkeperluan khas. Menurut Kail (2001), hampir empat peratus daripada populasi dunia terdiri daripada individu luar biasa atau kanak-kanak berkeperluan khas. Terdapat kanak-kanak yang dilahirkan tanpa mempunyai keupayaan untuk melihat objek atau cahaya termasuklah muka ibu bapa sendiri. Kank-kanak pintar cerdas adalah seorang kanak-kanak yang mempunyai kebolehan kognitif yang jauh lebih tinggi daraipada kalangan rakan sebaya. Kanak-kanak ini bukan sahaja mahir dalam bidang akademik malah mempunyai kebolehan dalam aspek kesenian dan kesukanan. Antara ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas ini ialah perbendaharaan kata yang lebih luas dan juga mempunyai kematangan dari segi penggunaan istilah. Kanak-kanak ini juga tidak mudah berpuas hati dengan jawapan yang mereka dapat dengan mudah dan mereka juga sangat petah berkomunikasi. Kanak-kanak berkeperluan khas juga terdiri daripada pelajar yang mempunyai autism. Autisme bermaksud kecelaruan neurologikal otak sehingga menjejaskan fungsi otak dalam aspek-spek kognitif, bahasa dan komunikasi, sosial dan emosi. Kanak-kanak yang mempunyai penyakit ini akan mempunyai masalah dari segi sosial, komunikasi verbal atau non-verbal dan masalah tingkah laku. Antara ciri-ciri autisme ialah sukar berkomunikasi dan mengelak untuk bertentang mata. Kanak-kanak ini juga mempunyai emosi tidak seimbang dan mencederakan diri sendiri. Dengan itu, pendidikan di sekolah akan dilakukan secara bersepadu dan terancang. Para guru akan mengambil pendekatan mengikut tingkah laku kanak-kanak tersebut. Para guru juga akan menjalankan pendidikan inklusif dimana pendidikan inklusif adalah pendidikan yang diberikan kepada murid-murid dengan keperluan pendidikan khas yang belajar bersama-sama dengan murid –murid normal di dalam kelas yang sama dan diajar oleh guru biasa (Haji Sabri Salleh,1996). Pendidikan inklusif ini dilakukan dalam dua bentuk iaitu separa inklusif di mana murid akan mengikut pembelajaran di kelas biasa untuk mata pelajaran tertentu sahaja dan selebihnya akan mengikuti program di kelas khas. Selain itu ialah inklusif sepenuh masa. Pendidikan inklusif sepenuh masa ialah murid akan mengikuti semua mata pelajaran di kelas biasaseperti murid biasa tetapi senarai nama akan kekal dalam Pendidikan Khas. Guru kelas akan rujuk atau meminta bantuan daripada guru Pendidikan Khas sekiranya terdapat masalah sama ada dari segi pembelajaran atau tingkah laku. Disleksia pula merupakan keadaan di mana seseorang mengalami masalah membaca yang amat serius. Istilah lain yang digunakan untuk mengambarkan masalah ini ialah buta huruf. Antara ciri-ciri disleksia ini ialah disparaxia iaitu mengalami masalah koordinasi motor, mata dan tangan. Selain itu, diskalkulia iaitu maslalah dalam bidang matematik. Ciri-ciri yang lain ialah disgrafia yang merujuk kepada bahasa. Cara pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di dalam kelas bagi pelajar ini ialah pendekatan multi sensori. Pendekatan multi sensori ini juga dikenali sebagai kaedah pelbagai deria. Pengajaran ini akan melibatkan kepelbagaian deria yang ada di dalam diri murid seperti penglihatan, pendengaran, pergerakan dan sentuhan. Deria-deria ini akan dijalankan serentak bagi memudahkan kaedah pengajaran terhadap pelajar tersebut.
span style="font-size: 12pt; line-height: 150%;"> Aspek seterusnya ialah kecerdasan pelbagai. Teori Kecerdasan Pelbagai adalah berdasarkan pada pemikiran bahawa kemampuan intelektual yang diukur melalui ukuran ujian IQ adalah sangat terbatas. Menurut Gardner (1983), kepakaran kecerdasan manusia seharusnya mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan masalah, menangani masalah sesuai dengan masa dan tempat dan menghasilkan output yang efektif. Menurut beliau kecerdasan bukanlah diwarisi melalui keturunan semata-mata tetapi ia juga dipengaruhi oleh faktor pemakanan, budaya, persekitaran, peluang pendidikan dan suasana pembelajaran. Beliau telah memperkenalkan sembilan jenis kecerdasan untuk mengukur tahap kecerdasan individu. Jenis yang pertama ialah kecerdasan Logik-Matematik. Jenis ini ialah untuk pelajar yang mempunyai kelebihan dalam matematik. Golongan ini mempunyai pemikiran yang saintifik, pemikiran secara heuristic, induktif dan deduktif, membuat inferens, generalisasi, perhitungan dan pengujian hipotesis. Selain itu, kecerdasan Verbal-Linguistik iaitu golongan yang mempunyai kebolehan dlam menggunakan bahasa dan kata-kata dalam menyampaikan sesuatu sama ada melalui lisan atau penulisan. Di samping itu, kecerdasan muzik. Kecerdasan ini merujuk kepada golongan yang mempunyai kebolehan dalam bidang muzik sama ada menggemari, mendiskriminasi, mengekspresi, mempersepsi, membeza, mengubah dan meluahkan perasaan melalui muzik. Kecerdasan Kinestetik Badan pula merujuk kepada individu yang mempunyai kelebihan dalam menggunakan badan mereka sama ada sebahagian atau keseluruhannya dalam berkomunikasi dan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Seterusnya, kecerdasan Interpersonal iaitu golongan yang berkebolehan dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik. Kecerdasan Ruang Visual ini memahami hubungan antara objek dengan ruang dan mampu mencipta imaginasi yang agak tinggi. Kecedasan Naturalis pula mepunyai kebolehan dalam mengenal pasti, mengkategori pola, corak atau bentuk yang ada pada alam sekeliling. Golongan ini sangat sukakan alam sekeliling dan sangat selesa berada bersama alam terbuka. Akhir sekali ialah kecerdasan ekistensialis. Golongan ini sangat gemar membaca buku-buku falsafah bagi menjawab setiap persoalan yang muncul dalm fikiran mereka.

3. RUMUSAN
Kesimpulannya, murid-murid di sekolah terdiri daripada pelbagai upaya yang berbeza keupayaannya dan perlu dilaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berbeza untuk memastikan objektif pembelajaran dapat dicapai. Para guru hendaklah mengenal pasti masalah murid-murid sebelum ianya berpanjangan dan membawa masalah kepada murid-murid.



No comments:

Post a Comment

RUJUKAN

RUJUKAN Buku Amir Hasan Dawi. (2006). Pentorian sosiologi dan pendidikan (Edisi ketiga). Tanjong Malim, Malaysia: Quantum books. ...