TAJUK 4: KEPIMPINAN DAN ORGANISASI
1. PENDAHULUAN
Terdapat pelbagai takrifan yang diberikan kepada kepimpinan. Menurut John Maxwell (1998) kepimpinan sebagai kemampuan seorang pemimpin mempengaruhi orang lain dalam melakukan sesuatu manakala Peter Drucker (1996) berpendapat kepimpinan sebagai pemimpin dan pengikut dalam sesebuah organisasi kepimpinan wujud dalam apa jua aktiviti yang disusun secara rapi dan sistematik. Kepimpinan juga berkait secara langsung dan tidak langsung dengan keseluruhan aktiviti dalam organisasi. Organisasi pula membawa maksud suatu badan yang dianggotai oleh pelbagai individu dengan kelebihan yang menjalankan tugas dan peranan yang berbeza bagi mencapai sesuatu matlamat yang sama (Robbins, 2003). Oleh itu, kepimpinan dan organisasi suatu perkara yang berbeza malah mereka saling berkait rapat antara satu sama lain bagi melengkapkan sesuatu matlamat.
2. ISI PENTING
Sehubungan itu, kepimpinan mempunyai perkaitan yang rapat dengan kuasa. Kepimpinan juga mengandungi tugas-tugas dan fungsi iaitu menetapkan matlamat, menyusun, mengarah dan menyelaras bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Seperti mana yang kita ketahui, bahagian pentadbiran sekolah merupakan kuasa pihak yang paling tinggi daripada yang lain iaitu pengetua atau guru besar. Sebagai contoh, sistem organisasi sekolah menengah dan sekolah rendah bermula dengan pentadbiran yang diketuai oleh pengetua atau guru besar. Pengetua atau guru besar bertanggungjawab dalam peningkatan kurikulum dan kokurikulum serta memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar Kementerian Pelajaran. Selain itu, pengetua dan guru besar juga perlu bertanggungjawab dalam hal pengurusan, pentadbiran dan kewangan sekolah.
Walaupun sistem organisasi ini diketuai oleh pengetua atau guru besar, namun didalam carta organisasi sekolah ia dibahagikan oleh beberapa pengurusan seperti penolong kanan pentadbiran, penolong kanan hal ehwal murid dan penolong kanan kokurikulum. Dibawah penolong kanan pentadbiran mempunyai jawatan kecil yang diwujudkan seperti bahagian pentadbiran, bahagian kurikulum, guru kanan mata pelajaran, ketua panitia mata pelajaran dan pusat sumber. Sehubungan itu, dibawah penolong kanan hal ehwal murid mempunyai jawatan kecil seperti disiplin, pendaftaran pelajar, kantin, SPBT dan kaunselor. Namun, dibawah penolong kanan kokurikulum mempunyai jawatan kecil seperti bahagian sukan (rumah sukan, olahraga dan permainan), bahagian kelab dan unit beruniform. Oleh itu, setiap jawatan kecil ini mempunyai tugas-tugas, peranan dan tanggungjawab keatas amanah yang telah ditetapkan dan diberikan.
Sementara itu, kepimpinan seseorang guru telah dibahagi kepada dua. Antara kepimpinan ialah kepimpinan bilik darjah dan kepimpinan pengajaran. Kepimpinan bilik darjah menurut Hook dan Vass (2000), ialah satu kemahiran di mana guru menggunakan kepimpinan untuk mengurus dirinya sendiri dan berkomunikasi dengan yang lain, mengaitkan perkara yang berlaku sehari-hari dengan interaksi dua pihak, menyampaikan visi kepada murid-murid dan meyakinkan mereka supaya mengikut. Disamping itu, Southworth (2002) mendefinisikan kepimpinan pengajaran adalah berkait dengan pengajaran dan pembelajaran termasuk pembelajaran profesion perguruan dan juga perkembangan pelajar. Bagi De Bevoise (1984) pula menegaskan bahawa kepimpinan pengajaran ialah segala tindakan yang dilakukan oleh seseorang pengetua atau pihak-pihak yang diamanahkan untuk menggalakkan pertumbuhan pembelajaran di kalangan murid-murid. Oleh itu, guru sewajarnya mengambil berat terhadap pengajaran dan pembelajaran termasuk pembelajaran profesionnya mahupun pertumbuhan pelajar itu sendiri.
Selain itu, gaya kepimpinan di sekolah dibahagikan kepada 4 peringkat iaitu, kepimpinan autokratik, kepimpinan demokratik, kepimpinan laissez-faire dan kepimpinan kontigensi. Oleh itu, guru perlulah mempunyai gaya kepimpinan tersebut bagi melahirkan guru yang professional dan dapat menguruskan pelajar atau murid yang mempunyai masalah seperti nakal, tidak mendengar arahan dan masalah dalam pembelajaran mereka. Kepimpinan autokratik membawa maksud seseorang pemimpin, pengetua atau guru menggunakan satu cara untuk mengurus dan memerintah dengan kuasa mutlak atau paksaan kepada seseorang seperti pelajar. Gaya kepimpinan autokratik ini belaku secara interaksi sehala. Gaya kepimpinan autokratik ini ialah pengetua atau guru besar memberi arahan, guru-guru hanya mendengar dan mengikut arahan yang diberikan. Sehubungan itu, guru-guru tidak deberi peluang untuk menyuarakan pendapat atau cadangan. Pengetua yang mengamalkan gaya kepimpinan jenis ini dapat memastikan pelaksanaan tugas dengan sempurna. Namun, ini akan menyebabkan motivasi guru-guru rendah, guru lebih bergantung kepada pengetua dan suasana akan menjadi tegang. Oleh itu, gaya kepimpinan ini sesuai digunakan untuk pelajar.
Pemimpin yang menggunakan kepimpinan autokratik ini kepada pelajar akan membantu pelajar membuat keputusan yang berkaitan dengan tugas, mengeluarkan arahan dan memastikan arahan dipatuhi. Sehubungan itu, gaya kepimpinan autokratik ini juga menjadikan pelajar akur dan patuh pada sebarang arahan atau keputusan yang dibuat oleh seseorang guru. Hal ini kerana, pelajar yang nakal kebiasaannya tidak mampu untuk membuat keputusan. Namun, sebagai seorang guru seharusnya membantu pelajar untuk menetapkan sesuatu keputusannya. Antara ciri-ciri kepimpinan yang berkesan dalam kepimpinan autokratik seperti mendorong semangat dan memberi motivasi, keyakinan diri, kepintaran, kreatif dan fleksibel. Sebagai contoh, semasa didalam kelas, terdapat pelajar yang nakal seperti memonteng, tidak mendengar arahan dan membuli, saya akan menggunakan ciri-ciri yang berkesan seperti memberi motivasi kepada pelajar tersebut dengan menggunakan gaya kepimpinan autokratik.
Seterusnya gaya kepimpinan demokratik. Gaya kepimpinan demokratik ini berlaku secara interaksi dua hala. Kepimpinan demokratik juga dikenali sebagai pengetua atau guru besar yang mengalakkan kesemua kakitangannya melibatkan diri dalam organisasinya. Peluang diberi kepada setiap ahli organisasi untuk memberikan pendapat atau pandangan sebelum sesuatu keputusan diambil. Dimana setiap sesuatu perkara diputuskan melalui suara majoriti. Gaya kepimpinan demokratik ini sesuai digunakan oleh pengetua atau guru besar dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah, agar guru-guru dan staf merasakan pandangan mereka diterima dan secara tidak langsung mereka akan mempunyai semangat kekitaan atau keupayaan. Dari sini diharapkan mereka akan menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan cemerlang. Kebanyakan tindakan diambil berdasrkan keputusan mesyuarat, ini bermakna pandangan semua pihak diambil kira. Oleh itu, gaya kepimpinan demokratik ini sesuai digunakan dalam kalangan guru-guru dan pekerja.
Di samping itu, gaya kepimpinan laissez-faire. Pengetua atau guru besar yang mengamalkan kepimpinan laissez-faire, tidak begitu berminat dengan urusan yang diamanahkan kepadanya. Beliau biasanya tidak peduli mengenai kerja mahupun hasilnya. Kuasa yang ada padanya tidak digunakan. Pengetua atau guru besar jenis ini akan membiarkan semua keputusan dibuat oleh orang bawahannya dan tidak menentukan tugas dan tanggungjawab kepada mereka. Gaya kepimpinan laissez-faire ini juga menggambarkan seorang pengetua atau guru besar tidak ada keyakinan diri dan tidak menetapkan matlamat untuk dicapai. Pengetua atau guru besar tidak membuat penilaian, tidak memberi pujian, kritikan, idea dan nasihat kepada guru-guru atau orang bawahannya kecuali diminta oleh mereka. Gaya kepimpinan ini telah bertentangan dengan gaya kepimpinan autokratik. Oleh itu, gaya kepimpinan ini tidak bersesuaian kepada seseorang pemimpin seperti pengetua atau guru besar. Hal ini juga akan menyebabkan kedudukan prestasi sekolah terjejas dan pelajar akan berani untuk melanggar disiplin sekolah.
Gaya kepimpinan yang terakhir ialah gaya kepimpinan kontingensi. Gaya kepimpinan kontingensi ini membawa maksud sumbangan pemimpin terhadap keberkesanan pretasi kumpulan yang bergantung kepada gaya kepimpinan dan kesesuaian situasi yang dihadapinya. Gaya kepimpinan ini tiada cara khusus, malah gaya ini adalah sama dalam semua keadaan untuk memimpin dan mentadbir sesuatu organisasi sekolah. Gaya kepimpinan ini, merupakan gaya kepimpinan yang mengikut keadaan dan situasi sahaja. Oleh itu, gaya kepimpinan kontingensi ini dipengaruhi oleh 3 faktor utama iaitu hubungan antara pemimpin dan anggota, struktur tugas dan posisi kuasa. Faktor ini sangat bersesuaian untuk digunakan kepada pengetua atau guru besar agar mereka boleh bertindak mengikut keadaan. Hal ini disebabkan oleh, penerapan gaya kepimpinan yang bervariasi dalam menghadapi pelbagai situasi akan menjadikan kepimpinan lebih efektif.
3. RUMUSAN
Kesimpulannya, kepimpinan dan organisasi ini amat penting bagi membangun dan membentuk sesebuah organisasi yang mempunyai matlamat. Sebagaimana yang kita ketahui, sesebuah organisasi perlu mempunyai carta organisasi dan setiap carta organisasi perlu mempunyai pemimpin yang berwibawa untuk memimpin ahli-ahli yang menyokong mereka. Oleh itu, pemimpin juga perlulah mempunyai keyakinan dan gaya kepimpinan yang betul bagi melahirkan ahli-ahli bertanggungjawab keatas tugas dan amanah yang diberikan.
Disamping itu, pengetua atau guru besar haruslah memainkan peranan dan fungsi seperti berikut bagi membawa kecemerlangan kepada organisasi. Antaranya ialah menetapkan wawasan, visi dan misi, hala tuju dan matlamat dalam organisasi, memupuk motivasi pekerja, membangunkan keupayaan strategik organisasi dan merealisasikan perubahan, Dalam hal ini, peranan pengetua atau guru besar dengan guru-guru adalah berbeza kerana pengetua atau guru besar akan memberi arahan kepada guru-guru bagi mengetahui hala tuju dan strategi organisasi dengan melaksanakan peranan mereka mengikut bidang tugas yang ditetapkan agar matlamat yang ditetapkan tercapai.
Seterusnya, kepimpinan adalah proses yang sangat berkaitan dengan pengaruh dimana sseseorang itu berjaya mempengaruhi mereka yang dipimpin supaya mengubah sikap dan tingkah laku. Oleh itu, pengetua atau guru besar haruslah memilih gaya kepimpinan yang betul dan terbaik untuk diri mereka agar kepimpinan mereka untuk memimpin guru-guru Berjaya untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Corak-corak kepimpinan mampu mempengaruhi sesebuah organisasi. Corak kepimpinan di sekolah yang diguna pakai oleh pengetua kebiasaannya lebih kepada kepimpinan demokratik yang mana pengetua akan menggalakkan semua guru-guru melibatkan diri dalam organisasi. Tegasnya, kepimpinan ialah tenaga penting disebalik kejayaan organisasi dan organisai tidak boleh mencapai kejayaan tanpa kepimpinan yang berkesan.
No comments:
Post a Comment