TAJUK 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN
1. PENDAHULUAN
Sosiologi menurut American Sociological Association, 2006 adalah kajian mengenai kehidupan sosial, perubahan sosial, sebab-sebab sosial dan akibat dalam tingkah laku manusia. Sosiologi merupakan kajian saintifik mengenai masyarakat dan tingkah laku manusia.
Menurut Auguste Comte (seorang ahli filsafat kebangsaan Prancis) sosiologi merupakan suatu perkara positif tentang hukum-hukum dasar dari pelbagai gejala sosial. Istilah ‘sosiologi’ pertama kali digunakan oleh Auguste Comte pada tahun 1839. Beliau adalah orang yang pertama menggunakan istilah tersebut sebagai pendekatan khusus untuk masyarakat. Selain itu, beliau juga memberi sumbangan yang begitu penting terhadap sosiologi seperti memperkenalkan hierarki sains dengan bidang sosiologi pada kedudukan teratas. Membahagikan pengkajian masyarakat kepada statik sosial (hubungan dengan peraturan dan stabiliti) dan Dinamik sosial (menekankan perkembangan pembahagian tugas dalam masyarakat moden). Oleh sebab itu para ahli sepakat untuk mengikhtirafnya sebagai ‘Bapa Sosiologi’. Ini kerana Auguste Comte sangat berjasa terhadap ilmu sosiologi.
Sementara itu, menurut Max Weber (1864-1920), sosiologi adalah ilmu yang berupaya memahami tindakan-tindakan sosial. Tindakan sosial adalah tindakan yang dilakukan dengan mempertimbangkan dan berorientasi pada perilaku orang lain. Beliau beranggapan bahawa idea dan nilai (selain faktor ekonomi) memberi kesan kepada perubahan sosial.
Bagi Emile Durkheim (1858-1917), sosiologi adalah ilmu yang mempelajari fakta sosial. Fakta sosial adalah cara bertindak, berpikir, dan mampu melakukan pemaksaan dari luar terhadap individu. Sosiologi hanya boleh dianggap sebagai sains sekiranya pengkaji menfokuskan kajian kepada fakta sosial. Fakta sosial perlu dikaji seperti mana menkaji sesuatu benda (kehidupan sosial dapat dikaji seperti objek nyata).
Secara amnya, sosiologi boleh disimpulkan maksudnya iaitu suatu kajian saintifik dan sistematik tentang interaksi manusia dalam masyarakat dari pelbagai sudut seperti budaya, stratifikasi, popilasi, politik dan lain-lain.
Manakala pembelajaran menurut Robert M Gagne (The Conditions of Learning, 1970), adalah perubahan atau kemampuan seseorang yang dapat dikekalkan tetapi tidak disebabkan oleh pertumbuhan. Perubahan yang dipanggil pembelajaran diperlihatkan melalui perubahan tingkah laku iaitu dengan membandingkan tingkah laku seseorang individu sebelum didedahkan kepada situasi pembelajaran dengan tingkah lakunya selepas didedahkan dengan situasi pembelajaran.
Sementara itu, E.R. Hilgard, R.C. Atkinson dan R.L. Atkinson ( Introduction to Psychology, 1975). Pembelajaran adalah perubahan tingkah laku yang kekal hasil dari pengalaman. Perubahan ini mungkin tidak jelas sehingga timbul suatu situasi yang menonjolkan tingkah laku baru ini; pembelajaran biasanya tidak diperlihatkan dengan serta-merta melalui pencapaian.
Morris L. Bigge ( Learning Theories for Teachers, 1982). Pembelajaran merujuk kepada beberapa perubahan sistematik dalam tingkah laku atau penyusunan tingkah laku yang berlaku hasil dari pengalaman dalam situasi yang tertentu.
Pembelajaran yang dimaksud disini merupakan kurikulum yang menuntut sikap proaktif guru dalam menciptakan dan memodifikasi aktiviti pelajar bersesuaian dengan perancangan yang telah dibuat. Berdasarkan silibus atau sukatan pelajaran yang ada dalam kurikulum, hasil-hasil pembelajaran yang diinginkan oleh guru dapat ditentukan. Guru sendiri adalah sumber utama tujuan bagi para pelajar. Sehubungan itu, guru seharusnya mampu menentukan tujuan-tujuan pembelajaran yang bermakna dan dapat diukur. Di samping itu, seorang guru juga harus berupaya memilih dan menentukan model pembelajaran yang sesuai dengan situasi pelajar untuk mencapai matlamat pembelajaran.
2. ISI PENTING
Terdapat beberapa isi penting yang perlu diketahui dan dipelajari dalam tajuk sosiologi dan pembelajaran. Setiap isi yang ada merujuk kepada bagaimana individu bertindak kepada masyarakat. Dari perspektif sosiologi, terdapat dua jenis sosiologi iaitu mikro dan makro. Mikro bersifat individu dan lebih kecil (penagihan dadah) manakala makro bersifat besar, bercorak organisasi, dan kompleks (peperangan dan penggangguran). Selain itu, dalam tajuk sosiologi dan pembelajaran ini juga terdapat 3 teori utama sosiologi iaitu Teori Interaksionisme Simbolik, Teori Fungsinalisme dan Teori Konflik. Ketiga-tiga teori ini mempunyai peranan dan fungsi yang berbeza.
Antara teori utama sosiologi ialah Teori Interaksionisme Simbolik. Teori ini dipelopori oleh George Herbert Mead (1863-1931). Teori ini mengkaji bagaimana individu menginterpretasi dan bertindak menurut kemahuan masing-masing dalam masyarakat. Selain itu, teori ini mengkaji makna, simbolik atau makna yang tersirat secara subjektif. Dari sudut perspektif teori ini juga melihat bagaimana makna yang simbolik digunakan dalam interaksi manusia. Memahami simbolik mengikut konteks penggunaannya sangat penting kerana makna yang simbolik berguna semasa interaksi di mana-mana dan menyebabkan hubungan bertambah mesra. Interaksi sosial amat penting dalam menghubungkan manusia dengan dunia luar kerana jalinan interaksi akan membentuk kumpulan masyarakat.
Sementara itu, Teori Fungsinalisme ini telah diasaskan oleh Auguste Comte (1798-1857). Teori ini merujuk kepada perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan yang menyumbang kepada pengekalan masyarakat. Masyarakat dianggap seperti tubuh yang mempunyai bahagian dengan fungsi tersendiri iaitu ada tujuan dan keperluan tertentu. Selain itu, masyarakat diumpamakan seperti organisma yang mempunyai bahagian yang dikenali sebagai struktur. Struktur sosial akan menentukan kelancaran keharmonian dan perjalanan masyarakat. Terdapat tiga andaian ahli fungsionalisme (Brinkerhoff & White, 1989). Antaranya ialah Stabiliti ( kriteria penilaian untuk menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat dikekalkan), Harmoni (bagaimana semua struktur masyarakat bekerjasama mencapai tujuannya) dan Evolusi (perubahan dalam masyarakat melalui proses adaptasi struktur sosial kepada pembaharuan). Teori ini menekankan persefahaman ahli masyarakat untuk mencapai keharmonian dan kestabilan.
Teori terakhir ialah Teori Konflik. Teori ini dipelopori oleh Karl Marx (1818-1883). Teori ini menganalisis tentang konflik-konflik yang berlaku dalam struktur masyarakat. Teori ini juga mengkritik kapitalisme dan menimbulkan persoalan mengenai sama ada struktur-struktur masyarakat seperti ekonomi, pendidikan, politik, sosial dan agama membawa kesejahteraan kepada manusia atau sebaliknya.
3. RUMUSAN
Kesimpulannya, sosiologi melibatkan manusia oleh itu skop kajian adalah sangat meluas. Sosiologi dan pembelajaran penting dalam pendekatan pengajaran guru kerana dengan ini murid mampu membentuk konsep diri yang positif, meningkatkan kualiti hidup dan daya sosial pergaulan bersama rakan sebayanya. Sebagai seorang pendidik, guru-guru perlu mempunyai sifat kemanusiaan dan mereka harus tahu dan memahami peranan mereka dalam dunia sosial. Justeru itu, pendidik perlu tahu tentang sosiologi kerana mereka berkhidmat di dunia pendidikan yang dikelilingi masyarakat. Sosiologi juga dikaitkan dengan objek iaitu masyarakat yang memerlukan ilmu sosiologi bagi meningkatkan kemampuan seseorang untuk menyesuaikan diri atau beradaptasi dengan lingkungan sosialnya. Oleh itu, sosiologi, pembelajaran dan pendidikan merupakan suatu perkara yang sangat berkait antara satu sama lain. Fenomena-fenomena yang berlaku dalam dunia pendidikan (termasuk sekolah) perlu dianalisis bukan sahaja dalam perspektif sosiologi tetapi juga dari perspektif antropologi, ekonomi, sains politik dan psikologi pendidikan.
No comments:
Post a Comment